SEOUL, 24 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Korea Selatan bermula hari ini hingga 26 November.
Kehadiran beliau dalam lawatan sulung ke negara itu adalah atas jemputan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Selain Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Lawatan itu merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Korea Selatan sejak menyandang jawatan pada November 2022.
Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Yoon di Pejabat Presiden Yongsan.
Kedua-dua pemimpin akan menilai hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan yang telah berkembang maju daripada segi skop dan inti pati sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1960.
Selain dijangka berbincang isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, dan bertukar pandangan mengenai kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan kepengerusian APEC-Republik Korea 2025.
Kedua-dua pemimpin turut akan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman melibatkan Kerjasama Pendidikan Tinggi, Kerjasama Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon serta Pendekatan Kerjasama di Bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris.
Dalam rangka lawatan itu, Perdana Menteri dijadualkan untuk menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan dan mengadakan pertemuan dengan kapten industri dari syarikat-syarikat terkemuka Korea Selatan.
Anwar juga dijadualkan untuk menyampaikan ucapan khas bertajuk 'Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia' di Universiti Kebangsaan Seoul.
Dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan mencatat sebanyak RM81.61 bilion.
Malah dari 1980 hingga Jun 2024, sebanyak 392 projek sektor pembuatan dengan kepentingan Republik Korea telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan mencecah RM43.10 bilion.
Pada tahun 2023, Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.07 bilion.
Malaysia merupakan rakan dagang ketiga terbesar Republik Korea dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan ke-12 terbesar di peringkat global.