VALENCIA,24 November-Ribuan keluarga dan guru mengadakan protes di Valencia pada Sabtu untuk mendesak tindakan berhubung kerosakan sekolah yang terjejas akibat banjir maut yang meragut lebih 220 nyawa di timur Sepanyol dan memberi kesan besar kepada pendidikan ribuan kanak-kanak.
Mereka membawa sepanduk yang menuntut peletakan jawatan pemimpin Valencia, Carlos Mazon, sambil berarak di jalan-jalan bandar tersebut hampir sebulan selepas bencana alam terburuk negara itu pada 29 Oktober yang lalu.
Kontroversi berkaitan bagaimana kerajaan menangani banjir masih berterusan, dengan kesatuan guru menuduh kerajaan membiarkan kerja pembersihan dilakukan oleh guru-guru dan pelajar.
Lima orang masih hilang di Valencia selepas hujan lebat dan banjir yang menyebabkan kematian ramai terutamanya di dalam kereta, parkir bawah tanah, serta rumah.
Sebanyak 30 sekolah masih ditutup, menurut kesatuan guru serantau STEPV, meninggalkan 13,000 kanak-kanak tanpa tempat untuk belajar.
Sekitar 5,000 orang menghadiri demonstrasi itu, kata kerajaan Sepanyol.
“Kami rasa terabai kerana guru-guru, ibu bapa dan sukarelawan terpaksa membersihkan sekolah-sekolah.
"Kami melihat ada pekerja pembersih di beberapa sekolah, tetapi jumlahnya tidak mencukupi,” kata jurucakap STEPV, Marc Candela, kepada Reuters.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Valencia menyatakan bahawa sejak 11 November, kira-kira 32,000 pelajar dari kawasan yang terjejas banjir telah kembali ke sekolah.-REUTERS