IPOH, 24 November- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lima strategi utama untuk Barisan Nasional (BN) Perak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau yang juga Pengerusi BN menjelaskan bahawa strategi tersebut melibatkan pengukuhan jentera parti, penguasaan era digital, menggilap calon berpotensi , mempererat hubungan dengan rakan gabungan, serta menarik sokongan pengundi muda.
Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan calon muda yang memiliki pendedahan akar umbi yang kukuh untuk memastikan kemenangan parti.
"Ini bukan bermaksud kita meminggirkan peranan orang lama, tetapi kita perlukan kombinasi yang seimbang antara calon lama dan baharu.
"Kita pernah muda dan diberi peluang ketika itu. Kini, apabila kita mengambil alih kepimpinan, kita harus memberi peluang yang sama kepada calon muda," katanya ketika merasmikan Konvensyen BN Negeri Perak di sini.
Beliau turut menambah bahawa rundingan pembahagian kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) hanya akan bermula selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).