fb fb fb fb fb

Anwar akan umum berita gembira berkenaan barangan makanan esok - Fahmi

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat satu pengumuman baik berkenaan barangan makanan esok, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi pengumuman itu, hasil kerjasama baik dan persefahaman antara pihak kerajaan dan sektor industri sebagai usaha membantu rakyat.

"Intro nya berkaitan dengan serba sedikit barangan makanan yang lazim kita makan seharian. Jadi ada berita baik daripada Perdana Menteri, tunggu PM.

"Tetapi ia menunjukkan bahawa bila kita ada kerjasama yang baik dari sektor industri, pihak kerajaan dan ada persefahaman bahawa niat kita adalah untuk rakyat, jadi kita berupaya untuk buat pengumuman seperti yang akan diumumkan Perdana Menteri esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mydin Mart Pantai Dalam di ibu negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menyampaikan sumbangan Aidiladha kepada penduduk di parlimen itu hari ini.

Sementara itu Fahmi juga turut memuji tindakan pihak pengurusan pasar raya itu, kerana tidak menaikkan harga barang seperti yang dilakukan beberapa peniaga lain atas alasan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"(Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad) Datuk Dr Ameer Ali Mydin jelaskan tadi, tidak perlu ada kenaikan harga barang kerana subsidi diesel diteruskan, subsidi diesel bagi sektor logistik diteruskan. Jadi mereka masih menikmati harga diesel pada RM2.15 Satu liter dan tidak ada peningkatan harga bagi para peniaga.

"Saya dalam ucapan tadi telah menegaskan bahawa langkah kerajaan telah membantu untuk mambantutkan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan diesel. Saya juga telah memaklumkan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali untuk menghantar laporan pemantauan di stesen minyak," katanya lagi.

Pada masa sama beliau turut meminta orang ramai supaya memanfaatkan aplikasi price checker yang dibangunkan KPDN bagi membuat perbandingan harga dan mendapatkan barangan pada harga lebih murah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI