fb fb fb fb fb

Semua penyiar perlu bincang dengan Jakim, Yadim teliti pendakwah jemputan

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta semua penyiar di negara ini untuk berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bagi meneliti pendakwah jemputan yang diundang bagi program agama di platform masing-masing.

Fahmi berkata, sebarang perkara membabitkan agama, sepatutnya mempunyai penyelarasan dan garis panduan yang lebih baik supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan.

"Saya lihat mereka perlu bantu untuk meneliti asatizah yang dijemput dan walaupun kita beri ruang kepada semua tapi bila melibatkan aspek agama, saya rasa perlu ada sedikit penyelarasan dengan pihak Jakim dan juga Yadim," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mydin Mart Pantai Dalam dan menyampaikan sumbangan Aidiladha kepada penduduk di Parlimen Lembah Pantai di ibu negara.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan garis panduan yang perlu ada bagi memantau pendakwah bebas yang dijemput dalam sebarang program agama.

Mengenai tindakan merehatkan pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, dalam sebuah program agama terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM), Fahmi berkata pihaknya menyerahkan kepada Jakim untuk meneliti perkara tersebut.

"Pihak Jakim telah memberi teguran sebelum ini dan kita serah kerana pandangan sebelum ini telah diterima dan diberi nasihat.

"...tetapi akibat tindakan baru-baru ini saya rasa wajar diberikan sedikit masa sebelum kita jemput beliau semula," katanya lagi

Ustaz Don Daniyal sebelum ini pernah direhatkan daripada program Salam Baitullah terbitan RTM, namun beliau muncul kembali mengemudi rancangan itu pada Khamis.

Selepas kemunculan semula itu, beliau sekali lagi menimbulkan kekeliruan selepas mengeluarkan kenyataan mengenai manfaat memandang wajah guru lebih baik berbanding bersedekah 1,000 ekor kuda di jalan Allah SWT, yang dikatakan tidak merujuk kitab-kitab sahih.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman mengambil keputusan untuk merehatkan sepenuhnya pendakwah bebas itu daripada program tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI