KLUANG, 10 Disember - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 11 Januari depan di jambatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, sebagai komitmen memastikan projek RTS berjalan lancar.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pertemuan kedua-dua pemimpin negara tersebut juga untuk memastikan projek RTS dapat beroperasi menjelang Januari 2027 nanti.
Menurut Anthony, kewujudan RTS akan menjadi faktor pemangkin dalam mengubah landskap pembangunan dan ekonomi di Johor Bahru.
Selain itu, perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) yang sedang dirancang di Johor Bahru, akan menjadi pelengkap kepada RTS bagi menyediakan sistem pengangkutan awam lebih baik.
"Saya melihat potensi yang cukup besar seperti yang saya katakan, Johor kini negeri yang paling diikuti pelabur dan peniaga peniaga oleh kerana beberapa projek perintis dan pembangunan," kata Anthony ketika Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2023 di sini.
Selain itu, pembangunan Zon Kewangan Khas Johor-Singapura dilihat berpotensi besar dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.