fb fb fb fb fb

MOT cadang selaras tambang Shuttle Tebrau kepada RM5

Anthony Loke

KLUANG, 10 Disember- Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang menyelaraskan kos tambang pergi dan balik bagi perkhidmatan kereta api Shuttle Tebrau antara Johor Bahru dan Singapura kepada RM5 untuk rakyat Malaysia.

Menterinya, Anthony Loke berkata, penyelarasan itu bagi mengurangkan beban kira-kira 10,000 pengembara harian yang perlu membayar sejumlah SGD$5 untuk tambang dari Woodlands ke Johor Bahru.

Jelasnya, inisiatif terbabit akan dibincangkan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan bakal dilaksanakan awal tahun hadapan.

"Saya tidak melihat ekonomi itu sebagai bukan portfolio saya. Kalau dulu ekonomi, (portfolio) ekonomi... pengangkutan, (portfolio) pengangkutan.

"Tetapi sekarang ini kita lihat semua (portfolio) ada kaitan. (Portfolio) pengangkutan ada hubungan dengan ekonomi, ekonomi bergantung kepada pengangkutan, pengangkutan juga ada hubung kait dengan perumahan," katanya kepada pemberita pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2023 di sini.

Tambah Anthony, Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru antara projek pengangkutan yang akan siap tahun depan dan dijangka mula beroperasi pada penghujung 2024.

MOT juga akan berbincang dengan Kerajaan Johor berkenaan pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu melibatkan aspek kewangan, jajaran dan teknikal.

SITI AISHAH BINTI MD ISA