ALOR GAJAH, 10 Disember - Pemimpin persatuan belia perlu berganding bahu bersama-sama kerajaan untuk menjadi penggerak kepada agenda Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional, (TVET) termasuk memperkasakan bidang itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin belia sewajarnya mampu menjadi aktivis dalam mempromosikan agenda TVET selain menjadi penghubung antara kerajaan, industri dan golongan muda.
Menerusi TVET, terbukti dapat melahirkan ramai graduan yang berpeluang mengisi pekerjaan dalam industri termasuk kebolehpasaran yang telahpun mencapai hingga 92.5 peratus pada tahun lalu.
"Apa yang lebih penting adalah peluang luas untuk direbut golongan belia yang bersemangat memajukan diri dan meningkatkan pendapatan menerusi latihan serta peluang pekerjaan lebih baik. Ini terutamanya ketika statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Mac dan suku pertama 2023 menganggarkan kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 11.2 peratus, membabitkan 317,300 penganggur belia," kata Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-44, di sini.
Teks ucapan dibacakan Setiausaha Politiknya, Datuk Zulkarnain Omardin.
Dalam pada itu, Kerajaan Perpaduan melalui pendekatan Malaysia Madani terus komited memberi tumpuan khusus terhadap golongan belia di negara ini termasuk di kawasan desa dan pendalaman.
Katanya, ia dibuktikan menerusi peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM393.8 bilion dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan Oktober lalu.