fb fb fb fb fb

Anwar adakan pertemuan dengan pemimpin industri Jepun

TOKYO, 23 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Jepun.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau memberi jaminan kepada pemimpin industri berkenaan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik dan pilihan untuk membuat pelaburan.

"Saya juga tegaskan bahawa Malaysia punyai kestabilan dan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi mana-mana syarikat merealisasikan pelaburan ke dalam negara.

"Antara peluang pelaburan di Malaysia yang dibincangkan merangkumi industri minyak dan gas, tenaga boleh baharu, hidrogen dan amonia, industri halal dan semikonduktor.

"Saya tegaskan supaya komitmen syarikat ini disusuli secara rapi supaya pelaburan ke dalam negara ini dapat direalisasikan dalam masa yang ditetapkan," kata Anwar.

Antara syarikat terlibat adalah IHI Corporation, Nisshin OilliO Group Ltd, Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau sempat bertemu dengan rakan sejawatan dari Thailand, Srettha Thavisin.

"Pertemuan santai itu memberi peluang kepada kami untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara merangkumi pelbagai perkara.

"Selain itu, kami juga sempat bertukar pandangan terkait pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama khususnya ASEAN," kata Anwar.

aidan