fb fb fb fb fb

Pemangku Raja Perlis zahir kebimbangan masalah literasi murid

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KUALA PERLIS, 24 Mei- Masalah penguasaan asas literasi membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid sekolah perlu ditangani secara bijaksana agar ia tidak berlanjutan hingga ke peringkat menengah, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda menzahirkan kebimbangan tersebut selepas negara mencatatkan seramai 175,304 orang atau 13 peratus kanak-kanak tidak menguasai literasi pada akhir persekolahan rendah.

Angka berkenaan direkodkan menerusi data daripada Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia 2023.

Justeru, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, intervensi bersesuaian serta berimpak tinggi diperlukan kerana pendidikan peringkat rendah adalah asas penguasaan ilmu dan kemahiran bagi menguasai pelbagai bidang ilmu yang lain.

Titah baginda, semua pihak hendaklah mengambil cakna agar masalah penguasaan asas 3M menjadi agenda utama di peringkat prasekolah dan sekolah rendah.

Di samping itu memberi penekanan kepada penguasaan pengetahuan dan kemahiran, penerapan nilai murni seperti berbudi pekerti mulia, menghormati, saling menyayangi, toleransi serta kesantunan yang tinggi kepada anak-anak.

Titahnya, nilai-nilai berkenaan penting bagi menjadikan insan yang seimbang dan harmonis daripada aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Demikian titah baginda ketika berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 140 orang asnaf terpilih di Masjid Terapung Al Hussain dekat sini.

Seramai 70 orang asnaf terpilih dari kariah Masjid Al-Hussain dan 70 lagi dari kariah Padang Besar Selatan, masing-masing menerima RM700 setiap seorang daripada Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

SITI AISHAH MD ISA