fb fb fb fb fb

Lawatan kerja Anwar ke Singapura tumpu isu tertunggak

Ketibaan Anwar Ibrahim (tengah) disambut Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan (kanan)/PMO

SINGAPURA, 29 Oktober- Perbincangan dua hala dalam pelbagai perkara berkepentingan bersama, selain penyelesaian isu tertunggak antara tumpuan lawatan kerja dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura bermula hari ini.

Lawatan tersebut sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura Edisi ke-10.

Pertemuan Anwar bersama rakan sejawatan, Lee Hsien Loong juga bagi menetapkan hala tuju hubungan bilateral.

Sebanyak lapan kementerian dari Malaysia dan Singapura terlibat dalam sesi perbincangan tahunan tersebut yang dihoskan secara bergilir-gilir sejak 2007, namun tertangguh bermula 2019 akibat pandemik COVID-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, antara isu-isu utama yang akan dibincangkan semasa Sesi Permukiman adalah langkah-langkah dalam menambah baik kesalinghubungan, usaha-usaha untuk memperkukuh kerjasama ekonomi di antara kedua-dua negara dan meneroka peluang kerjasama dalam tenaga boleh baharu.

"Kedua-dua pemimpin juga dijangka memperhalusi pendekatan-pendekatan yang bersifat progresif dan menang-menang (win-win) dalam menyelesaikan isu-isu dua hala yang tertunggak," katanya kepada media Malaysia di sini.

Perdana Menteri juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura baharu, Tharman Shanmugaratnam.

Selain itu, memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang keusahawanan turut dijangka akan dimeterai, begitu juga surat sampingan untuk menambah baik peruntukan Perjanjian Tabung Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura.

Satu Kenyataan Bersama antara kedua-dua pemimpin itu akan dikeluarkan selepas Sesi Permukiman berakhir.

Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia.

Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Singapura meningkat sebanyak 37.6 peratus kepada RM368.19 billion berbanding nilai dagangan pada tahun 2021.

SITI AISHAH BINTI MD ISA