fb fb fb fb fb

Angkasapuri Kota Media ikon penyiaran teknologi digital Malaysia

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merasmikan kompleks bangunan
baharu Media City serta mengumumkan nama baharunya sebagai Angkasapuri Kota Media)

KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Kompleks bangunan baharu Media City kini dikenali sebagai Angkasapuri Kota Media.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan nama baharu berkenaan pada majlis perasmian bangunan berkenaan di Angkasapuri, di sini pada Rabu.

Pada perasmian itu, Ismail Sabri turut  memasyhurkan nama-nama jalan di sekitar kompleks itu sebagai Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi serta Bulatan Simfoni.

Katanya, Angkasapuri Kota Media diangkat sebagai simbol penyiaran negara dan bukan hanya sesuatu yang dihadkan kepada kewujudan sebuah bangunan secara fizikal semata-mata.

"Sejak tahun 1968, bangunan Angkasapuri menjadi ikon penyiaran yang tersergam indah di tepi LebuhrayaPersekutuan, dan kewujudan Angkasapuri Kota Media ini akan menambah satu lagi ikon penyiaran, iaitu ikon penyiaran teknologi digital Malaysia.

"Teknologi yang dibawa bersama pembangunan ini wajib dioptimumkan penggunaannya dalam penghasilan kandungan, siaran radio dan televisyen yang lebih jelas di samping penyampaian maklumat dan hiburan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, Angkasapuri Kota Media ini juga pada masa hadapan, akan terus dibangunkan menjadi pusat penyiaran negara.

"Ia diharap dapat terus dibangunkan penyertaan dan kehadiran pelbagai penyiar tempatan mencontohi Media City di Dubai, UAE; Manchester, United Kingdom; Sydney, Australia dan Singapura.," katanya.

Ismail Sabri dalam masa sama memberi jaminan, kerajaan akan sentiasa menyokong inisiatif yang bersifat mesra rakyat dan mesra pemegang taruh dalam usaha memenuhi kehendak rakyat dan menyempurnakan amanah rakyat, di samping memberi pulangan positif kepada negara.


(Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (kiri)
bersama Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri (kanan)

"Rakyat berhak menerima maklumat yang tepat dan sahih, sebagaimana yang dijanjikan oleh RTM, selain hiburan yang berkualiti, dan tanggungjawab ini wajib disampaikan
secara berterusan," katanya semasa ucapan perasmian Angkasapuri Kota Media, di sini, pada Rabu.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Hadir sama Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Che Roslan Che Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Pembangunan kompleks penyiaran itu yang bermula 12 Disember 2016 dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur penyiaran yang canggih serta berteknologi tinggi selaras dengan perancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

Kompleks berkenaan melibatkan kos keseluruhan RM860 juta, meliputi pejabat dan ruang teknikal seluas 62,027 meter persegi, menyediakan sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan-bahan penyiaran.

Kompleks itu menempatkan 18 tingkat untuk ruang pejabat, auditorium berkapasiti 1,000 orang, studio rakaman muzik dan studio latihan muzik, serta tiga studio televisyen.

Media Baharu