fb fb fb fb fb

Anggota polis dituduh seludup migran Myanmar

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 13 Februari- Seorang anggota polis berpangkat Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu Kelantan atas dua pertuduhan berhubung penyeludupan 29 migran warga Myanmar pada 16 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38 tahun ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menjalankan penyeludupan migran melibatkan tujuh lelaki dan enam wanita warga Myanmar di dalam sebuah van di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Tunjong pukul 1.30 pagi pada 16 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan migran iaitu 15 lelaki serta satu wanita warga Myanmar dan kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah rumah inap desa di Jalan Pintu Geng, pukul 9.45 pagi pada 16 Januari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 26B (d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang mana ia adalah kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.


(Foto Hiasan)

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mac sebagai tarikh deposisi iaitu keterangan migran.

Media Baharu