PUTRAJAYA, 21 Julai - Pegawai imigresen perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan agensi itu seiring perkembangan teknologi semasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan itu penting bagi membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memanfaatkan potensi AI secara menyeluruh dalam operasi dan perkhidmatan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pegawai imigresen diberi peluang mengikuti kursus jangka pendek berkaitan AI di universiti awam seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Saya cadangkan Ketua Pengarah Imigresen berbincang dengan bahagian sumber manusia untuk menghantar pegawai secara berperingkat ke fakulti berkaitan AI di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.
“Beri pelepasan satu hingga dua minggu bagi membolehkan mereka mendalami ilmu dan kefahaman mengenai AI,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2025, di sini.
Tambah beliau lagi, AI bukan lagi pilihan tetapi keperluan bagi mempertingkat kecekapan operas, memperkukuh keselamatan serta mempercepat dan memperkemas perkhidmatan kepada rakyat serta pelawat.
Sambutan Hari Imigresen ke-103 tahun ini membawa tema ‘AI Meneraju Reformasi Imigresen’, selaras aspirasi jabatan untuk menjadikan teknologi sebagai pemacu utama reformasi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.