fb fb fb fb fb

Ancaman harimau belang, penduduk Orang Asli diminta tangguh aktiviti hutan

GUA MUSANG, 12 Januari - Lebih 2,000 penduduk Orang Asli di dua buah pos penempatan dinasihati menangguhkan aktiviti di dalam hutan susulan ancaman harimau belang yang masih berkeliaran di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata demi keselamatan nyawa, Orang Asli di Pos Bihai dan Pos Balar diminta untuk kekal berada di rumah jika tiada keperluan penting.

Sebelum ini kelibat harimau belang dilihat penduduk kampung di sekitar Pos Bihai dan terbaharu di Pos Balar.

"Pihak polis menasihati penduduk di perkampungan Pos Bihai Baru dan Bihai Lama supaya lebih berhati-hati apabila keluar daripada rumah masing-masing disebabkan ancaman harimau yang masih berkeliaran.

"Pihak polis juga menyarankan sekiranya penduduk perlu untuk keluar, keluarlah secara berkumpulan dan jangan bergerak dalam individu," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tendrik, Pos Bihai.

Terdahulu, Choon Foo bersama rombongan mengadakan perjumpaan dengan penduduk kampung yang diancam harimau belang tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) masih menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli berkenaan.

Orang ramai turut dinasihat berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan negeri Kelantan melalui talian 011-59275985, talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Media Baharu