fb fb fb fb fb

Anak anggota dan pegawai ATM terima manfaat pendidikan Yayasan LTAT

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 15 Julai - Seramai 1,310 anak anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari seluruh negara menerima manfaat e-Perkasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sentuhan Elit SPM.

Ia menerusi dua daripada lima inisiatif baharu pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menteri Pertahanan (MINDEF), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif dilaksana sejak 2024, diteruskan tahun ini bagi memastikan anak-anak anggota ATM tetap meraih keputusan cemerlang SPM meskipun ibu atau bapa mereka sibuk berkhidmat dalam perkhidmatan.

"e-Perkasa SPM untuk anak-anak anggota yang bersekolah di luar kem pertahanan bagi hadapi SPM. Ini bermakna kita menyediakan tuisyen secara dalam talian yang meliputi lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Inggeris.

"Ia dilaksana dengan kerjasama guru pakar dan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melibatkan 652 pelajar dari seluruh negara. Anak-anak turut diberikan peranti secara percuma," katanya pada Majlis Peluncuran Lima Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025, di sini.

Sementara itu, tuisyen bagi program Sentuhan Elit SPM pula dilaksanakan secara fizikal melibatkan 658 anak anggota di enam buah Sekolah Dalam Kem.

Turut dilancarkan pada majlis berkenaan, tiga lagi inisiatif pendidikan iaitu program Simpanan Pendidikan MADANI, program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T) dan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Kita juga akan sambung program Simpanan Pendidikan MADANI kerjasama dengan Tabung Simpanan Pendidikan (PTPTN) sebagai galakan usaha menabung dari peringkat umur rendah.

"Yayasan LTAT menyumbang RM50 kepada setiap murid tahun 1 bagi pembukaan akaun. Tahun ini, kita mempunyai 3,775 murid tahun 1 anak-anak anggota. Jumlah kos keseluruhan melibatkan RM188,750," tambah beliau.

Seterusnya, program K2T turut diperluas kepada warga ATM termasuk ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan anak-anak ATM dengan tawaran 22 bidang kursus jangka pendek seperti masakan, pemasaran digital, grafik dan kecerdasan buatan.

Selain itu, bagi anak-anak anggota yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan setaraf akan menerima tajaan yuran maksima sehingga RM3,000 daripada Yayasan LTAT.

Turut digerakkan usaha meningkatkan kesedaran kepentingan modul pembelajaran berasaskan sains dan inovasi menerusi program STEM di sekolah-sekolah seluruh negara.

Datuk Seri Khaled menerusi sidang media selepas majlis peluncuran memaklumkan, kesemua lima inisiatif dilancarkan hari ini mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap kesetiaan tinggi dan pengorbanan tidak berbelah bahagi anggota yang berkhidmat demi keamanan, kemakmuran dan kedaulatan tanah air tercinta.

"Salah satu yang menjadi fokus utama MINDEF adalah soal kesejahteraan angkatan tentera kita berasaskan pengorbanan dan sumbangan mereka.

"Maka, wajar kita memberi perhatian sebagai mencerminkan penghargaan kita. Justeru, kita merangka pelbagai pendekatan dan menggembeleng kekuatan demi menjayakan rancangan kita ini," ujar beliau.

Majlis peluncuran turut menyaksikan pemberian sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.2 juta daripada rakan strategik Yayasan LTAT demi memperkasa masa depan generasi pertahanan.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN