fb fb fb fb fb

AMK minta Abdul Hadi muhasabah diri, jaga tutur kata

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 21 Oktober -Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengkritik kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa merendahkan Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan yang dipimpin banduan, dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AMK menerusi kenyataan berkata, ia bukan kali pertama Presiden Pas itu menyerang Perdana Menteri dengan gelaran sedemikian.

Malah sejak bertahun lalu menjadi label yang paling digemarinya untuk digunakan ke atas Perdana Menteri.

"Di saat kita tahu Perdana Menteri sendiri tidak pun terkesan dengan serangan oleh Haji Hadi tersebut, timbul tanda tanya apa sebenarnya yang cuba dicapai oleh Haji Hadi dengan menggunakan gelaran banduan ke atas seseorang dengan tujuan merendah-rendahkan mereka?," menurut kenyataan itu.

Kenyataan turut memaklumkan Abdul Hadi pada 13 September yang lalu pernah membayangkan membayangkan bahawa pemenjaraan ke atas dirinya adalah lebih baik berbanding membayar denda.

“Ertinya beliau sendiri sedia untuk memakai gelar banduan, maka apa masalahnya dengan Anwar sebagai bekas banduan?"

AMK menasihati Abdul Hadi supaya bermuhasabah diri kerana sebagai seseorang yang digelar ulama dan pendakwah, beliau tidak seharusnya merendah-rendahkan takdir dan nasib seseorang yang diketahui sendiri olehnya sebagai orang yang dizalimi.

“Tekuni dengan semulia hati, bukan dengan penuh nafsu politik dan hasad dengki. Bukan itu sifat orang alim dalam jalan dakwah.

“Sudah tertulis Perdana Menteri kita hari ini adalah antara insan yang diuji dengan tohmah dan fitnah sehingga terpenjara dalam jalan perjuangannya sebelum diangkat darjat untuk memimpin negara. Seharusnya ia jadi pedoman besar buat kita, bukan untuk direndah-rendahkan,” ujar kenyataan itu.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

 

 

Media Baharu