fb fb fb fb fb

Amaran kepada peniaga, jangan sorok barang keperluan bersubsidi

SARAWAK, 27 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman memberi amaran kepada peniaga untuk tidak menyorok barang keperluan bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Sri Aman, Al-Redzamani Abdul Razak dalam kenyataanya berkata, barangan terbabit adalah seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, telur, ayam, bawang, susu tepung dan sayur sayuran.

"KPDNHEP pula telah melaksanakan Kempen Anti Sorok Barang Keperluan bagi memastikan bekalan barang kawalan dan keperluan asas sentiasa mencukupi dipasaran. Ia juga untuk memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti penyelewengan melalui penyorokan barangan keperluan. Pelaksanaan Kempen Anti Sorok telah menunjukkan impak positif," katanya.


(KPDNHEP memberi amaran, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang sorok barang keperluan
di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961)

Hasil pemeriksaan harian mendapati lebih 90 peratus dari premis peruncit terpilih yang diperiksa mempunyai bekalan barang-barang kawalan dan keperluan asas terpilih.

Pengedaran barang kawalan di peringkat pemborong terpilih juga menunjukkan bekalan ada mengikut keperluan pengguna.

KPDNHEP memberi amaran kepada mana-mana individu dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti seperti itu, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika disabit kesalahan individu boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan RM3 juta untuk kesalahan berikutnya atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat pula denda tidak lebih RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Media Baharu