fb fb fb fb fb

Bekas isteri SM Faisal dipenjara 7 hari, jalani hukuman di Penjara Wanita Kajang

(Emilia Hanafi (berbaju putih) akan menjalani hukuman penjara
selama tujuh hari di Penjara Wanita Kajang mulai hari ini)


KUALA LUMPUR, 27 Jun- Bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Emilia Hanafi akan menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini selepas Emilia, 43, hadir di Mahkamah Syariah dan menyerah diri.

Menurut peguam syarie, Nazri Yahya yang mewakili Emilia, anak guamnya itu akan menjalani hukuman penjara berkenaan di Penjara Wanita Kajang.

"Selepas selesai menjalani hukuman penjara, anak guam saya akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai," katanya kepada pemberita, di sini.

Memetik laporan Bernama, pada 15 Jun lalu, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana menghina mahkamah.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman itu terhadap Emilia Hanafi, 43, kerana mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka namun beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

(Emilia (baju putih) hari ini menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah)

Emilia memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi pada 8 Jun lepas dan menamakan SM Faisal, 43, serta bekas ibu mentuanya Puan Sri Zaleha Ismail, 70, sebagai responden.

Turut dinamakan ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Berdasarkan permohonan itu, Emilia tidak tinggal atau bermastautin di Wilayah Persekutuan dan semasa prosiding hadhanah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 23 Julai 2018, beliau tinggal atau bermastautin di Kajang, Selangor.




Media Baharu