KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Orang ramai diseru menghayati Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 sebagai saluran mengenang perjuangan silam, menyemai semangat patriotik serta memperkukuh azam demi masa depan negara yang lebih maju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook berkata, amanat yang bakal disampaikan bukan sekadar ucapan, sebaliknya tanda kebersamaan dalam menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan tanah air.
Justeru, ucapan amanat tersebut perlu ditonton oleh semua lapisan masyarakat agar semangat Malaysia MADANI dapat menghidupkan jiwa merdeka dalam kalangan rakyat.
Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 akan disampaikan oleh Perdana Menteri pada esok (30 Ogos) pukul 11.00 pagi dan disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media tempatan.