fb fb fb fb fb

Lebih 81,000 usahawan Selangor terima manfaat TEKUN, cecah RM4.9 bilion

Foto BERNAMA

BANTING, 29 Ogos- Lebih 81,000 usahawan di Selangor terima manfaat daripada program pembiayaan TEKUN, dengan jumlah keseluruhan pembiayaan mencecah RM4.9 bilion.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah berkata seramai 2,684 usahawan Selangor telah menerima pembiayaan berjumlah RM66 juta, bagi tempoh Januari hingga Julai 2025.

Beliau menjelaskan bahawa angka itu menekankan peranan penting TEKUN dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat serta membantu usahawan mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Sehingga kini, lebih 602,000 usahawan di seluruh negara telah menerima manfaat dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM10.5 bilion.

Di Selangor sahaja, lebih 81,000 usahawan telah dibantu dengan nilai pembiayaan mencecah RM4.9 bilion, termasuk hampir setengah juta usahawan wanita," kata Datuk Seri Dr. Wan Azizah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian “Kaseh Keusahawanan Aspirasi Wanita” di Dataran Pantai Morib, di sini.

Dalam majlis tersebut, seramai 11 usahawan TEKUN Selangor menerima pembiayaan berjumlah RM449,000 sebagai bantuan perniagaan.

Sementara itu, kesihatan mental dianggap asas penting dalam membina masyarakat yang seimbang dan produktif.

Menurut Datuk Seri Dr. Wan Azizah, cabaran berkaitan kesihatan mental di Malaysia semakin membimbangkan.

Berdasarkan data terbaharu Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, wujud peningkatan ketara berbanding lima tahun lalu.

Tambah beliau, menerusi kajian itu juga, seorang daripada enam kanak-kanak berusia antara 5 hingga 15 tahun dilaporkan menghadapi masalah kesihatan mental.

Justeru, tegasnya, cabaran itu memerlukan perhatian semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM