SIMPANG EMPAT, 5 Februari - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua pihak bahawa tadbir urus yang mementingkan integriti dan akauntabiliti akan mendidik masyarakat supaya mengamalkan sikap yang lebih positif.
Pendekatan itu adalah satu kemestian yang perlu dipraktikkan sekiranya inginkan sebuah organisasi yang mantap dan berjaya.
Titah baginda, tadbir urus yang baik juga akan dapat menggalakkan budaya dan nilai yang lebih baik dalam kalangan rakyat untuk jangka masa panjang.
Tadbir urus yang baik bukan sahaja membawa manfaat kepada sesebuah organisasi itu, malah para pelanggan akan mendapat faedah daripadanya.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan merasmikan Kilang Capal Dr Saad yang dinaiktaraf di Kampung Chemumar Tengah, Simpang Empat, Perlis.
Kilang yang dimiliki Saad Saep itu telah beroperasi di lokasi yang sama sejak penubuhannya pada tahun 2001 dengan moto, Memartabatkan Warisan Capal selain mendapat sokongan dan bantuan daripada Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.