fb fb fb fb fb

RM10.67 juta  untuk baik pulih rumah golongan asnaf di Kelantan



KOTA BHARU, 5 Februari - Lebih 300,000 rumah golongan asnaf di Kelantan menerima peruntukan berjumlah RM10.67 juta bagi program baik pulih dan bina baru rumah.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, jumlah itu bertambah sebanyak RM4 juta berbanding hanya RM5.6 juta tahun lalu, disebabkan kos bahan binaan yang semakin meningkat.

Peruntukan besar itu bagi membantu golongan sasar iaitu B40 yang tidak mampu mengeluarkan kos untuk membaik pulih rumah usang serta memiliki kediaman sendiri.

Berbanding RM45,000 tahun lalu jumlah itu meningkat kepada RM55,000 bagi setiap unit tahun ini dibawah peruntukan khas Menteri Besar.

"Biasanya mereka ada tanah tapi mereka tak mampu buat rumah tapi kalau tiada tanah itu masalah lah untuk kita. Kalau keluarga dia memberi keizinan untuk buat atas tanah tu kita buat," kata Ahmad Yakob di sini, selepas Majlis Apresiasi Dhua’fa.

Ahmad Yakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan turut menyampaikan mock cheque kepada 16 penerima bantuan baik pulih rumah dan bina baru dalam DUN berkenaan.

Sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2019, sebanyak 164 buah rumah dalam kawasan berkenaan terlibat dalam projek berkenaan, selaras dengan tonggak utama kerajaan Kelantan iaitu 'Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan'.

 

Media Baharu