KUALA LUMPUR, 4 Februari - Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) berumur 5 hingga 11 tahun, adalah langkah terbaik untuk melindungi serta mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut Ketua Jabatan Pediatrik, Pakar Perundig Kanan Pediatrik dan Neonatalogi, Hospital Sungai Buloh, Dr. See Kwee Ching, PICKids juga antara lain bermatlamat mengembalikan sepenuhnya persekitaran persekolahan secara bersemuka yang lebih selamat dan meyakinkan.
Pada masa sama, memastikan usaha mencapai imuniti kelompok secara lebih menyeluruh dapat direalisasikan segera.
"Secara umumnya mempunyai objektif tiga serampang iaitu yang pertama untuk mengurangkan risiko jangkitan serius COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dan kematian dalam kalangan kanak-kanak.
Juga untuk mencegah terjadinya sindrom long COVID-19 iaitu simpton panjang dan untuk mengurangkan seperti apa yang disebut sebagai ' multisystem inflammatory syndrom insurence', iaitu gangguan sistem kekebalan multisystem pada kanak-kanak, berisiko menyebabkan kematian," menurut Dr. See dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.
"Menerusi PICKids ini kita dapat menormalisasikan alam persekolahan kanak-kanak balik kepada yang normal. Nombor 3 adalah untuk meningkatkan cakupan vaksinisasi dalam kalangan penduduk Malaysia dan dengan melibatkan golongan umur kanak-kanak ini, maka kita akan dapat mencapai kekebalan kelompok secara lebih menyeluruh," katanya lagi.
Jelas Dr. See, buat masa ini hanya vaksin jenis Pfizer yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA), untuk diberikan kepada kanak-kanak 5 hingga bawah 12 tahun.
'Kita telah melihat aspek-aspek sains dan aspek keselamatan secara menyeluruh sebelum kita lancarkan program PICKs ini di Malaysia. Memang ada vaksin-vaksin lain yang sedang diketengahkan dan kami sedang menjalankan percubaan vaksin Sinovac untuk golongan umur 5 hingga bawah 12 tahun juga."
"Tapi yang diluluskan sekarang oleh FDA untuk kegunaan di Amerika dan NPRA untuk kegunaan di Malaysia hanyalah vaksin Pfizer. Dan Vaksin Pfizer ini adalah berbeza daripada vaksin yang digunakan untuk golongan remaja dimana dos yang diberikan sepertiga dan volume yang digunakan juga lebih kecil 0.32 ml berbanding dgn 0.3 ml. Dan yang ketiga, selang waktu dos pertama dan kedua adalah selama 8 minggu dan bukan 3 minggu seperti yang kita dapat," tambahnya lagi.