fb fb fb fb fb

Kanak-kanak teruja terima vaksin COVID 19

KUALA LUMPUR, 5 Februari - Pemberian vaksin pada hari ketiga Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) terus mendapat sambutan menggalakan.

Tinjauan RTM di Axiata Arena mendapati, rata-rata ibu bapa tiba awal bersama anak masing-masing.

Keadaan tidak sesak dan orang ramai mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Pelbagai gelagat boleh disaksikan, seperti ada yang bakal penerima vaksin menangis melihat picaragari, tidak kurang juga bersahaja, malah ada yang sempat bermain.

Namun, kebanyakan mereka yang ditemani ibu bapa atau penjaga kelihatan tenang.

Sepanjang tiga hari, PPV Axiata Arena telah melaksanakan suntikan vaksinasi kepada kira-kira 1,200 kanak-kanak yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

PPV ini dibuka dari pukul 8 pagi hingga 6.30 petang.

PICKids menyasarkan 4.1 juta kanak-kanak diberikan vaksin, bagi melindungi mereka daripada dijangkiti Covid-19.

Program itu dilancarkan 3 Februari lalu, bagi kumpulan umur 5 hingga 11 tahun.

 

Media Baharu