PUTRAJAYA, 5 Februari - Pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan kembali ke asrama.
Mereka perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kediaman masing-masing.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu diambil bagi mengawal jangkitan dalam kalangan pelajar di asrama, terutama yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat ketetapan cuti sempena Tahun Baru Cina tidak dibenarkan kembali ke asrama. Ini kerana bagi memastikan anak-anak yang bakal ikuti SPM pada Feb dan Mac 2022 akan berada dalam keadaan yang terlindung selamat dan teratur", kata Datuk Dr Radzi Jidin menerusi laman Facebooknya.
Dari 1 Januari hingga 1 Februari lalu, 96 kluster direkodkan di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan.
Daripada jumlah itu, 84 kluster melibatkan institusi berasrama.
Katanya, Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk memastikan sesi persekolahan berjalan lancar serta selamat.