fb fb fb fb fb

Amalan pemilikan haiwan bertanggungjawab cegah lambakan haiwan terbiar

Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan, Bahagian Regulatori, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dr. Marzuna Md Yunus / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Februari-Masyarakat perlu mengamalkan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab bagi mengelakkan peningkatan jumlah haiwan terbiar di negara ini.

Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan, Bahagian Regulatori, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dr. Marzuna Md Yunus, berkata lambakan haiwan terbiar menjadi punca utama serangan haiwan seperti anjing liar terhadap manusia.

"Apabila kita bandingkan dengan data yang diterima oleh jabatan, jumlah aduan berkaitan kebajikan dan kezaliman haiwan pada tahun 2024 adalah sekitar 4,000 kes sahaja.

"Namun, isu berkaitan kacau ganggu yang diterima oleh pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara sehingga bulan Oktober sudah melebihi 21,000 kes.

"Data ini amat membimbangkan jika dibandingkan dengan jumlah aduan yang diterima oleh jabatan," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Tambah beliau, gigitan haiwan seperti anjing liar bukan sahaja boleh menyebabkan penyakit berbahaya seperti rabies, malah juga boleh mengakibatkan kecederaan parah yang berisiko membawa maut.

Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani masalah lambakan haiwan terbiar dengan lebih berkesan demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD