SUNGAI UDANG, 2 Februari- Kerajaan Melaka belum menetapkan keputusan cadangan untuk menutup sepenuhnya laluan Zon Bebas Kenderaan (CFZ) di Banda Hilir, kepada semua jenis kenderaan bermotor.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata perkara tersebut masih lagi di peringkat kajian.
Tambahnya, jika keputusan sudah dimuktamadkan, pengumumannya akan dibuat sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
"Kajian itu sedang kita lakukan lagi. Memang YB Ketua Menteri pun telah membicarakan tentang hasrat ini pada sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu.
Saya pun melihat dengan Zon Bebas Kenderaan (CFZ) yang diadakan kalau tempoh cuti sekolah, cuti Tahun Baharu Cina daripada kelmarin sehingga kini, betapa ramainya orang di kawasan itu.
Jadi, ia adalah satu program yang diilhamkan sendiri oleh Ketua Menteri dan sangat berjaya. Insya-Allah, kita akan teruskan dan bila tiba waktunya YB Ketua Menteri sendiri akan umumkan berhubung penutupan secara kekal itu," kata Datuk Rais kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada Perasmian Program Jom Berkhatan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Sungai Udang di Japerun Sungai Udang.
CFZ di Banda Hilir dilaksana membabitkan penutupan beberapa jalan selama tiga hari bersamaan 54 jam bermula pukul 6.00 petang setiap Jumaat hingga pukul 12.00 tengah malam Ahad.