fb fb fb fb fb

Allahyarham Azraai Khor terima Anugerah Khas Maulidur Rasul Negeri Kedah

Rohani Ibrahim (tengah) bersama anak-anaknya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Wisma Darul Aman

ALOR SETAR, 16 September- Bekas jurulatih legenda Kedah, Allahyarham Mohammad Azraai Khor Abdullah menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul 2024 Peringkat Negeri Kedah.

Anugerah Khas itu disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mewakili Sultan Kedah, AL Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah kepada isteri Allahyarham, Rohani Ibrahim, 64, sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Wisma Darul Aman.

Anugerah, bagi menghargai jasa beliau dalam arena bola sepak negara khususnya Kedah.

Allahyarham telah dianugerahkan dengan sijil penghargaan, hadiah iringan dan replika cek berjumlah RM7,000

Turut hadir majlis tersebut dua daripada tiga anak Allahyarham iaitu Nur Azryena 21 tahun dan Siti Fairus, 31 tahun.

Terdahulu Rohani ketika ditemui selepas majlis itu berkata mereka sekeluarga tidak menyangka Allahyarham suaminya akan menerima penghargaan terbabit dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak terlibat.

Menurut Rohani lagi, Allahyarham semasa hayatnya baik dengan semua orang, malah masih setia melayan wartawan walaupun penat.

"Arwah kata bola sepak adalah jiwa raganya. Jadi, dia tidak kisah dan melayan sesiapa sahaja yang datang," katanya.

Menurutnya, kediaman dan kubur arwah masih terus dikunjungi kenalan arwah, pemain, penyokong dan peminat sehingga kini iaitu setelah tujuh bulan pemergiannya.

Antara sumbangan terbesar Allahyarham termasuk membantu Kedah menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2004, Naib Juara Kumpulan A Liga Perdana 2005, Juara Liga Perdana 2006, Kedah Juara Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia (juara treble 2007 dan 2008) bagi pasukan Kedah.

Pada 2007, Azraai pernah dinobatkan sebagai Anugerah Jurulatih Pilihan bagi 100-plus Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Jurulatih Terbaik 2008.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE