fb fb fb fb fb

Aliran trafik di sempadan lancar, Johor terima pelaburan tambahan

(FOTO BERNAMA)

ISKANDAR PUTERI, 15 Jun - Kelancaran Aliran trafik antara Malaysia dan Singapura di Tambak Johor dan Linkedua ketika ini menjadi faktor negeri ini menerima pelaburan tambahan daripada syarikat terkemuka di China.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata syarikat alat ganti perabot pintar, JStar Motion yang telah membuka kilangnya di Johor akan menambah pelaburan RM100 juta di negeri ini.

(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi / FOTO BERNAMA)

"Kesesakan trafik yang mereka harungi di Tambak Johor dan Linkedua sebelum ini menjadi antara isu dan kekangan untuk pelabur dan pelancong masuk ke Johor.

"Namun jika Isu kesesakan lalu lintas sempadan Malaysia dan Singapura dapat diselesaikan secara konsisten, kerajaan negeri percaya ia akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata kesesakan lalu lintas di sempadan negara akan memberi impak kepada ekonomi daripada segi pelaburan, perdagangan, pelancongan, pendidikan dan hartanah.

"Kerajaan negeri memberi penekanan kepada isu kesesakan di kedua-dua CIQ ini adalah kerana kesannya kepada ekonomi negeri Johor dan Malaysia keseluruhannya," katanya.

Media Baharu