fb fb fb fb fb

PM mahu RUU Keselamatan Siber digubal segera

KUALA LUMPUR, 15 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Rang Undang-Undang Keselamatan Siber digubal segera dalam mendepani ancaman keselamatan siber.

Anwar menegaskan Malaysia harus menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera kerajaan dalam hal tersebut.

"Perihal ini menjadi keutamaan bukan sahaja di dalam negara tetapi turut mencakup ehwal yang lebih besar di peringkat global kerana alam siber dan komunikasi digital meresapi pelbagai aspek dalam kehidupan.

"Justeru Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara sepakat agar suatu Rang Undang-undang Keselamatan Siber digubal segera untuk memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.

"Saya menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan negara termasuk di dalam domain digital dan eko-sistem siber," katanya melalui kenyataan hari ini.



Katanya, sehubungan itu, Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA, MKN) telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi tonggak untuk menggembleng usaha dan ikhtiar merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri di dalam hal ini.

"Entiti dalam eko-sistem siber akan terus mengekalkan kuasa yang membolehkan mereka melaksanakan fungsi masing-masing.

"Pada masa yang sama, fungsi tugas beberapa entiti teras berkaitan keselamatan siber akan diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan memaksimakan kecekapan," katanya lagi.

Tambah kenyataan itu lagi, RUU Keselamatan Siber akan memberi NACSA, MKN punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber.

Katanya, RUU itu juga akan menambah baik keberkesanan fungsi-fungsi NACSA, MKN sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan
Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS).

Media Baharu