KUALA LUMPUR, 9 Julai -Penyertaan Algeria dan Uruguay dalam Penyertaan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) akan membuka jalan kerjasama lebih mendalam dan persefahaman yang dipertingkatkan antara ASEAN dan kedua-dua wilayah.
Malaysia mengesahkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memajukan ASEAN menerusi pendekatan berpandangan luas sekali gus memupuk kepercayaan dan keterangkuman bersama.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata memorandum persefahaman (MoU) itu menandakan langkah penting dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara dua negara tersebut dengan ASEAN serta mempromosikan kerjasama damai di rantau ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menyambut mesra kehadiran Menteri Negara Algeria, Menteri Luar Negeri, Komuniti Kebangsaan Luar Negara, dan Hal Ehwal Afrika,Ahmed Attaf dan Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin ke majlis berkenaan.
"Penyertaan Uruguay dan Algeria ke TAC merupakan satu peristiwa bersejarah. Sejak diterima pakai pada tahun 1976,TAC telah berdiri sebagai asas keamanan hubungan antara negara di Asia Tenggara.
"Prinsipnya yang menghormati kedaulatan, tidak campur tangan dalam hal ehwal dalam negeri, penyelesaian pertikaian secara aman dan menolak ancaman atau kekerasan masih kekal sama pentingnya seperti lima dekad lepas,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Menandatangani Penyertaan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) di sini.
Datuk Seri Mohamad juga menegaskan bahawa TAC bukan sahaja menjadi sauh dalam landskap geopolitik yang sentiasa berubah, tetapi ia juga mencerminkan komitmen berterusan ASEAN terhadap nilai teras keamanan, kestabilan dan penglibatan konstruktif dengan rakan kongsi di seluruh dunia.
Malaysia berharap kerjasama rapat dengan kedua-dua negara bawah rangka kerja TAC dapat menyemarakkan lagi semangat persahabatan, hormat-menghormati dan hidup bersama secara aman.