fb fb fb fb fb

Shah Alam catat pengunjung tertinggi Jelajah Kesihatan WoW di Selangor

Pengunjung berpusu-pusu memanfaatkan setiap reruai yang ada dalam program tersebut di Pusat Komuniti PPS17TB, Ahad lalu/ JKNS

SHAH ALAM, 9 Julai -Jelajah Kesihatan Wellness on Wheel (WoW) Bersama Ahli Parlimen di Shah Alam, baru-baru ini merekodkan angka tertinggi di Selangor apabila seramai 2,500 pengunjung hadir mewarnai program tersebut.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, program tersebut merupakan daya usaha Kementerian Kesihatan (KKM) sejak negara ini keluar dari pandemik COVID-19, dengan fokus menyediakan khidmat pendidikan, advokasi dan kesedaran kesihatan di peringkat komuniti.

"Saya telah meluangkan masa hampir dua jam untuk berinteraksi, menyantuni peserta dan mengunjungi reruai yang disediakan dalam program yang bertemakan 'Ke Arah Kesihatan Optimum'.

"Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada komuniti dan penduduk setempat serta pelbagai lapisan masyarakat. Tahniah atas usaha gigih dan persiapan rapi yang dilakukan persatuan.

"Syabas kerana initiatif ini mendapat kerjasama hampir 50 pihak terdiri daripada agensi awam, pihak swasta dan NGO (badan bukan kerajaan) yang berkolaborasi sebagai penaja pempamer produk kesihatan serta khidmat pelanggan," menurut hantaran Facebook.

0907 PORTAL JKNS WOW 1Azli Yusof (kiri) dan Mohd Asri (tiga dari kiri) ketika mendengar penerangan daripada Ketua Komuniti Ovitrap, Khuzaimah Mohamad Sahib dalam program tersebut di Pusat Komuniti PPS17TB, Ahad lalu/ JKNS

Pelbagai aktiviti menarik dihidangkan dalam program yang berlangsung di Pusat Komuniti Persatuan Penduduk Seksyen 17 Timur dan Barat (PPS17TB) itu seperti ceramah kesihatan dan keselamatan, cabutan bertuah, saringan kesihatan, zumba, fun walk, pertandingan futsal, bola jaring, bola sepak, trash4cash, azan serta bengkel pickleball.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Bin Halimi; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd Yatim; Pegawai Kesihatan Daerah Petaling, Dr. Jamiatul Aida Md. Sani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.

"Program ini bertujuan memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pendekatan yang lebih dekat, inklusif dan bergerak. Kesihatan bukan hanya soal rawatan, tetapi juga pencegahan, kesedaran dan pendidikan.

"Program ini juga bukan sahaja menyediakan saringan dan perkhidmatan, tetapi juga menjadi platform untuk meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat," kata Pengerusi PPS17TB, Mohd Asri Ismail yang juga penganjur program tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI