KUALA KANGSAR, 5 November- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas kebijaksanaan baginda berdua mengangkat kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.
Titah Sultan Nazrin, Al Sultan Abdullah akan tercatat dalam sejarah menghadapi cabaran-cabaran berat ketika bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Baginda berurusan dengan empat orang Perdana Menteri dan empat pasukan Jemaah Menteri, di samping memperkenankan lantikan tiga orang Perdana Menteri.
Ketika berhadapan isu-isu penting negara, baginda telah mengamalkan budaya syura yang tinggi dengan menjemput Raja Pemerintah Negeri untuk bermesyuarah mencari persefahaman dan kata sepakat.
"Baginda telah membuktikan Raja Pemerintah bukan simbol perpaduan yang abstrak, tetapi berperanan sebagai payung penyatuan dan pengikat yang hidup antara rakyat, negara dan takhta," titahnya.
Titah Sultan Nazrin lagi, sifat baginda berdua menyantuni rakyat, bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja, malah memperkukuh hubungan Sabah dan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan serta meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi raja.
"Baginda buktikan (ia) semasa baginda bersama Tunku Azizah menjayakan program Kembara Kenali Borneo, mencemar duli berangkat mengadakan lawatan ke Sabah dan Sarawak selama 11 hari pada 3 hingga 13 september 2023," titahnya.
Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari tahun depan dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Titah Sultan Nazrin, berasaskan pengalaman dan keprihatinan terhadap rakyat jelata, Sultan Ibrahim berupaya menyuntik roh dan tenaga kepada takhta pemerintahan Kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini.
Seramai 23 daripada 238 individu dikurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri, Datuk Seri Panglima, Datuk Pahlawan dan Datuk pada sesi pertama hari ini, sementara sesi kedua pada 18 November ini.