SEGAMAT, 5 November- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan membekukan cuti kakitangannya jika diperlukan di lokasi bencana banjir.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, pelbagai persediaan turut dilakukan melibatkan fasiliti, ubat-ubatan dan lain-lain.
"Setakat ini kita memantau tapi memang kita memberi 'alert' kepada petugas kalau misalnya saya rasa memang kebiasaannya kalau kita tengok daripada meteorologi dan sebagainya jika ada risiko banjir itu tinggi akan berlaku banjir, keperluan itu memang kita biasanya akan bekukan tapi buat setakat ini sampai hari ini belum lagi," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Mini Karnival Madani Afiat Zon Bukit Siput Segamat di Dewan Taman Fajar, Bukit Siput, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan trend penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis serta darah tinggi semakin meningkat terutama melibatkan golongan belia.
Justeru, KKM mengambil inisiatif merendahkan umur saringan kesihatan daripada 40 tahun kepada 18 tahun.