fb fb fb fb fb

Al-Sultan Abdullah zahir rasa syukur atas sokongan sepanjang menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar pada Istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Istana Negara hari ini.

KUALA LUMPUR, 23 November- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) kepada Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Haji Ahmad Shah dan isterinya Cik Puan Nur Bahiyah Mohamad Akip.

Darjah SIMP juga dikurniakan kepada Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahad Mua’adzam Shah yang turut menerima Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Selain Tengku Fahad, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan SSAP kepada Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Puteri Seri Teja Tengku Puan Sri Muhaini, Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Datuk Nong Fatimah dan Tengku Puteri Seri Bongsu Tengku Datuk Shahariah.

Al-Sultan Abdullah turut mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada Datuk Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini dan Juruiring Polis Seri Paduka SAC Datuk Mohd Azani Omar serta Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) kepada Penasihat Undang-Undang Istana Negara Datuk Abdul Rahman Putra Taha.

Al-Sultan Abdullah mengurniakan darjah-darjah tersebut pada istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang diadakan di Istana Negara.

Terdapat 10 keseluruhan pingat dengan sembilan penerima Khas Pengurniaan.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke istiadat hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail.

Dalam titah khasnya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan keluarganya sepanjang lima tahun menjawat jawatan tertinggi negara itu.

Seri Paduka turut menyuarakan rasa terharunya di atas kasih sayang yang diberikan keluarganya sejak menaiki tahta sebagai Sultan Pahang, sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Memang pada permulaannya agak mengejut dan begitu tidak diduga, tidak sangka untuk memegang jawatan secepat begini. Alhamdulillah dengan anugerah keberkatan Allah SWT, semuanya berjalan dengan sebaik mungkin.

"Sokongan dan dorongan yang dipamerkan oleh semua adik-beradik dan anakanda saya begitu disanjungi dan mudah-mudahan kita semua diberkati Allah,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut berkongsi beberapa kenangan manis dan pahit sepanjang lima tahun Seri Paduka berada di Kuala Lumpur yang boleh dikenang sebagai telah merapatkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan kerabatnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE