RANTAU PANJANG, 23 November-Bayi kembar lelaki berusia 44 hari dibawa mengharungi banjir sejauh 800 meter (m) dengan berjalan kaki selepas kediaman mereka di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang, Kelantan dilanda banjir pada Rabu.
Pasangan bayi kembar berkenaan, Muhammad Nabil Khalis dan Muhammad Naufal Khalis di bawa keluar daripada kediaman sekitar pukul 6.30 petang selepas menyedari air semakin tinggi.
Ibu pasangan kembar berkenaan, Nur Asyikin Zakaria 23 tahun berkata, dia bersama suami, Muhammad Fazra Azmi 34 tahun dan ahli keluarga yang lain mengharungi air sedalam 0.5 meter sebelum menaiki kereta untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh.
"Pergi ke PPS tersebut dengan berjalan kaki mengharungi air. Mujur kedua-dua bayi tidak menangis dan meragam.
"Kami tidak berani untuk menaiki bot kerana bimbang terbalik", katanya di sini.
Asyikin turut berkata keluarganya tidak meminta bantuan daripada anggota penyelamat terlibat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) di daerah itu kerana telah terbiasa dengan situasi itu.
Ibu kepada dua bayi itu turut berkata, setakat ini bayinya tidak meragam sepanjang berada di PPS tersebut dan berharap akan terus berada dalam keadaan baik dengan dibantu dengan pemantauan kerap oleh kakitangan kesihatan.
Bayi kembar lelaki itu merupakan antara 32 penduduk terjejas banjir daripada tujuh keluarga yang berlindung di PPS SK Gual To’ Deh selepas kediaman mereka mula dinaiki air berikutan limpahan air sungai Golok sejak Rabu.