fb fb fb fb fb

Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 diteliti semula

PETALING JAYA, 26 Februari- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti sama ada perlu meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ia selaras dengan penubuhan pasukan khas di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) dalam usaha membanteras kegiatan pornografi kanak-kanak.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata beberapa undang-undang berkaitan perlu diteliti semula dalam usaha melindungi golongan kanak-kanak dan wanita daripada pornografi dan keganasan seksual.

"Dalam kabinet, kita telah mulakan perbincangan tentang keperluan meneliti semula beberapa undang-undang khusus mengekang penyebaran pornografi kanak-kanak dan keganasan seksual.

"Kita akan buat pengumuman penuh mengenainya apabila kita sudah melaksanakan sesi libat urus bersama pelbagai kementerian lain.

"Sebagai contoh, Akta Komunikasi dan Multimedia, kita perlu akses semula sama ada terdapat bahagian dalam undang-undang berkaitan yang perlu dipinda bagi melindungi wanita dan kanak-kanak," kata Fahmi selepas merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan sebuah pasukan khas akan ditubuhkan di bawah D11 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia khusus bagi mengekang kegiatan pornografi kanak-kanak. Pasukan itu akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mengesan pelaku terbabit.

(Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR menyampaikan ucapan pada perasmian Konvensyen
Pemantapan Penerangan PKR Selangor)

Mengenai sesi libat urus KKD bersama Digital Nasional Berhad (DNB) dan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membincangkan berkenaan capaian 5G di negara ini semalam, Fahmi berkata keputusan sama ada kekal menggunakan model rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan rangkaian itu akan dicapai sebelum hujung Mac ini.

"Dan lebih dari itu, dua perkara yang ditegaskan perdana menteri iaitu satu kita ingin lihat capaian internet 5g ini meliputi 80% kawasan berpenduduk menjelang hujung 2023 dan harganya itu berpatutan untuk rakyat

"Alhamdulillah semua syarikat telekomunikasi menyatakan kesediaan mengadakan perbincangan yang lebih lanjut dan saya percaya untuk minggu-minggu yang akan datang, kita akan dapat capai kata putus dan harapan saya sebelum hujung bulan mac kita kan umumkan," kata Fahmi pada sidang media selepas Konvensyen Pemantapan Penerangan Keadilan Negeri Selangor di sini.

Beliau berkata sesi libat urus yang diadakan lebih sejam itu antaranya turut membincangkan supaya DNB diurus dengan lebih telus dan terbuka.

Januari lepas, Fahmi dilapor berkata KKD dijangka mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB dengan beberapa penambahbaikan menjelang atau sebelum hujung Mac ini.

Media Baharu