(Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin)
JOHOR BAHRU, 25 Februari- Kementerian Pendidikan Tinggi sedang dalam kajian mengurangkan beban hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada masa akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiga cadangan dikenalpasti, termasuk pengenalan konsep tabung endowmen, program anjal dan pengurangan tempoh program pengajian.
Beliau berkata cadangan tabung itu membolehkan pihak luar menyalurkan sumbangan atau dana kepada PTPTN, seterusnya meningkatkan peluang bakal mahasiswa membuat pinjaman.
KPT juga katanya akan mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan, untuk membenarkan pengecualian cukai kepada penyumbang di dalam tabung itu nanti.
Manakala Program Anjal, membolehkan pelajar melanjutkan pengajian tanpa perlu ke universiti.
Pelajar boleh menghadiri kelas secara dalam talian di rumah seterusnya mengurangkan kos sara hidup harian.
Cadangan pengurangan tempoh program pengajian daripada empat tahun kepada tiga tahun juga sedang diperingkat kajian.
" Manfaat pelajar tidak perlu pinjam, belajar dari rumah pakai internet, pakai komputer, jadi satu sara hidup dia tiada sebab dia duduk di rumah. Yuran mungkin akan kurang sebab dalam masa dia di rumah, mungkin cara mengajar itu pakai secara dalam talian (online). jadi fasiliti-fasiliti di universiti dah kurang pakai," katanya.
Mohamed Khaled ditemui pada Pelancaran Biasiswa Perpaduan MyBinary di Pasir Gudang, Johor Bahru.
Sebanyak 1,000 biasiswa penuh ditawarkan kepada lepasan SPM, SPVM yang mendapat sekurang-kurangnya lima kredit.
(Mohamed Khaled pada Pelancaran Biasiswa Perpaduan MyBinary di Pasir Gudang, Johor Bahru)