fb fb fb fb fb

SPRM dedah penjawat awam paling ramai ditahan rasuah, salah guna kuasa di Selangor

SHAH ALAM, 27 Februari - Penjawat awam merupakan kumpulan tertinggi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa antara 2018 dan 2022.

Pengarahnya Datuk Alias Salim melalui kenyataan mendedahkan berdasarkan rekod seramai 170 penjawat awam telah ditahan, diikuti 84 tangkapan melibatkan pekerja swasta, 50 orang awam dan masing-masing lima ahli politik serta individu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sepanjang tempoh sejak 2008 itu, tahun 2022 merekodkan tangkapan tertinggi iaitu dengan 72 orang diikuti 66 pada 2018 dan 63 pada 2021.

"Hasil tangkapan itu, SPRM Selangor membuka 269 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dengan 135 pertuduhan di mahkamah" menurut kenyataan itu di sini pada Isnin.

Tambahnya, tahun 2020 menunjukkan pembukaan kertas siastan tertinggi sepanjang tempoh lima tahun tersebut adalah 64 kertas siasatan diikuti 2019 (57) dan 2022 (50).

Katanya, dalam tempoh sama SPRM Selangor menerima 1,764 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Pada 2018, sebanyak 378 maklumat diterima, diikuti 344 pada 2019 dan 331 pada 2022.

"SPRM Selangor turut mencatatkan sitaan berjumlah RM366,845 selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM1,768,554.89," katanya.

Selain siasatan berkaitan kes-kes rasuah di Selangor, SPRM turut melaksanakan tindakan pencegahan rasuah dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas amalan, sistem serta prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah.

Menurutnya lagi, sepanjang tempoh tersebut, 406 ceramah khusus buat kumpulan sasar dengan 721 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, GLC, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.




Media Baharu