fb fb fb fb fb

Akta Keselamatan Dalam Talian perkukuh kawalan, tidak jejas kebebasan bersuara

Akta baharu itu menghimpunkan kesalahan berkaitan keselamatan dalam talian yang sebelum ini dikuatkuasakan secara berasingan bawah beberapa undang-undang sedia ada/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Pengenalan kepada Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) disifatkan sebagai langkah penting kerajaan dalam memperkukuh keselamatan digital negara, khususnya bagi menangani penyebaran kandungan berbahaya dan aktiviti dalam talian yang boleh memudaratkan pengguna.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr. Norazlina Abdul Aziz berkata, akta baharu itu menghimpunkan kesalahan berkaitan keselamatan dalam talian yang sebelum ini dikuatkuasakan secara berasingan bawah beberapa undang-undang sedia ada.

"Sebelum ini, kita mempunyai Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta peruntukan dalam Kanun Jenayah, namun kesemuanya dikuatkuasakan mengikut skop dan bidang kuasa masing-masing. ONSA menyatukan kesalahan berkaitan aktiviti dalam talian dalam satu kerangka yang lebih menyeluruh," katanya.

Beliau menjelaskan, antara implikasi utama pengenalan ONSA ialah perubahan pendekatan liabiliti, di mana tanggungjawab tidak lagi diletakkan sepenuhnya ke atas individu, sebaliknya turut diperluaskan kepada penyedia perkhidmatan komunikasi serta platform digital.

Langkah ini dijangka meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan kerana penyedia perkhidmatan digital merupakan entiti yang jelas dan boleh dikenal pasti berbanding individu pengguna yang sukar dikesan dalam banyak kes.

"Dengan keperluan pendaftaran dan pelesenan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, beberapa aktiviti penyedia perkhidmatan boleh dikawal selia secara lebih berkesan di bawah ONSA," ujar beliau.

Mengulas kebimbangan berhubung kebebasan bersuara, Dr. Azlina menegaskan akta tersebut bukan bertujuan menyekat hak berkenaan, sebaliknya selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa setiap kebebasan datang bersama batasan tertentu.

Bagaimanapun, hak kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak. Apabila sesuatu kenyataan atau kandungan memudaratkan pihak lain, parlimen mempunyai kuasa untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengehadkan kebebasan tersebut demi kepentingan awam.

Beliau berpendapat bahawa ONSA mewujudkan sinergi antara kerajaan dengan penyedia perkhidmatan digital, sekali gus membantu memastikan undang-undang keselamatan dalam talian dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan seimbang.

MASNIZA AWANG KECHIK