KUALA LUMPUR, 19 Disember - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyambut baik pemberian diskaun tol 50 peratus kepada kenderaan Kelas 1 bersempena dengan sambutan Hari Krismas, bermula 23 hingga 24 Disember ini, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang.
Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun dalam kenyataan memaklumkan, keadaan trafik dijangka mencecah 2.6 juta kenderaan sehari sepanjang tempoh perayaan itu.
"Sebanyak 2.2 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS. Manakala, Lebuhraya KL - Karak (186,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (69,200), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (33,200) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) 144,600," menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat, 30 laluan 'smart lane' di Lebuhraya PLUS akan diaktifkan, selain memastikan tiada penutupan lorong bermula pada 19 Disember hingga 28 Disember 2025 kecuali kerja kecemasan serta pemantauan rapi di plaza tol bertrafik tinggi.
Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa terdapat 571 tempat berteduh penunggang motosikal atau motorcycle shelter telah disediakan di sepanjang lebuh raya.
"Penunggang motosikal diharapkan sentiasa fokus ketika menunggang dan peka dengan pengaktifan 'smart lane' di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti serta berhenti berteduh di motorcycle shelter yang telah disediakan apabila cuaca buruk," tambah kenyataan itu.
LLM turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal, memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan baki Touch ’n Go atau e-dompet mencukupi.
Pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @llmtrafik serta Tiktok @llmtrafik atau hubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian 1 - 800 - 88 - 7752.
Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my.