fb fb fb fb fb

Akta jamin keselamatan sosial pekerja e-hailing bakal diwujudkan

(Ahmad Zahid pada Majlis Penutupan Karnival Kerjaya MYFutureJobs
dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak)

BAGAN DATUK, 28 Mei- Akta bagi menjamin keselamatan sosial pekerja ekonomi gig termasuk sektor e-hailing bakal diwujudkan. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan perbincangan mengenainya sudah diadakan bersama Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Bagaimanapun, perkara itu akan mengambil masa kerana melibatkan Jabatan Peguam Negara, input daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang terlibat dengan industri e-hailing.

"Kita akan perincikan akta dan ini akan mengambil masa yang agak panjang kerana ia melibatkan penglibatan Jabatan Peguam Negara, kemudian beberapa NGO dan persatuan yang terlibat dengan industri e-hailing...yang asasnya penting jaminan masa depan mereka," katanya.

(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak di Hutan Melintang, di sini hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai perancangan kerajaan mewujudkan akta berkenaan.

Ini berdasarkan kepada ucapan perasmian yang menyatakan beliau telah meminta Sivakumar untuk merancang satu akta khas melibatkan pekerja e-hailing.

Media Baharu