fb fb fb fb fb

Akta jaga kebajikan penggiat industri wajar diwujudkan - Fahmi

(Foto BERNAMA)

LONDON, 12 Jun- Akta khusus menjaga kebajikan penggiat industri seni wajar diwujudkan. 

Ini kerana peruntukan undang-undang sedia ada tidak mencukupi bagi melindungi golongan tersebut.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata beliau telah berbincang dengan penggiat industri berhubung hal itu dan perkara diketengahkan berkaitan kebajikan mereka.

Semua pihak terlibat disaran memberi kerjasama bagi mewujudkan akta khusus mengenainya, memandangkan ia mengambil masa untuk direalisasikan.

"Tempoh masa yang saya ada hanya berbaki sehingga 4 tahun 5 bulan. Itu tempoh maksimum untuk saya melaksanakan perkara yang perlu dilakukan. Usaha memperkenalkan undang-undang baharu pula hanya boleh dilaksanakan dalam tempoh dua ke tiga tahun," katanya kepada pemberita ketika bersama para pelajar Malaysia di sini sebelum menghadiri Minggu Teknologi London (LTW) hari ini.

Ketika ini pemain industri seni banyak bergantung kepada peruntukan Akta Kerja 1955.

Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke LTW yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga Jumaat.

LTW adalah acara terkemuka global yang mengumpulkan usahawan, pelabur serta peneraju industri pelbagai dari seluruh dunia untuk berbincang, bekerjasama dan meneroka arah aliran inovasi termasuk peluang terkini dalam sektor teknologi dan digital.

 


(Foto BERNAMA)

Media Baharu