fb fb fb fb fb

Akta baharu berkaitan pekerja gig akan digubal

Ahmad Zahid Hamidi / Foto RTM

PUTRAJAYA, 28 Oktober - Kerajaan bakal menggubal akta baharu berkaitan pekerja sektor gig menerusi pembentangan rang undang-undang (RUU) yang dijangka dibuat pada akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu bertujuan membela hak 1.16 juta pekerja gig di seluruh negara.

Cadangan akta berkenaan akan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selepas perbahasan RUU Perbekalan 2025 selesai.

"Elemen yang terkandung antaranya adalah tentang jaringan keselamatan dalam kalangan pekerja dan perlindungan bukan hanya daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tapi juga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selain cadangan kos rawatan perubatan.

"Walaupun kita tahu ini akan memberi implikasi kewangan yang agak berat tapi kita perlu mengambil kepedulian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia MADANI anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia di sini.

Tambah beliau, bentuk perlindungan itu akan diperuntukkan kepada pekerja sektor gig meliputi tempoh 24 jam sehari.

Sekali gus akan meletakkan kedudukan Malaysia sebagai negara terawal menggubal perundangan khusus membabitkan pekerja sektor itu.

Trainee2