KOTA BHARU, 17 Januari- Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyambut baik langkah kerajaan membuat pelarasan tarif air domestik mulai 1 Februari depan dengan kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu.
Pemangku Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail berkata, pelarasan tarif tersebut sangat signifikan apabila kerja-kerja pembangunan infrastruktur, naiktaraf, baikpulih dan penyelenggaraan dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.
Pelasaran dibuat itu sekali gus memberi kesan langsung terhadap kualiti perkhidmatan kepada pengguna termasuk gangguan bekalan dan aduan yang berkaitan dengan bekalan air dapat diselesaikan dengan kadar segera.
"Dengan adanya penyelarasan tarif air akan dapat membantu AKSB dalam menguruskan bekalan air di Kelantan dan dapat beri terbaik dengan sedikit pendapatan daripada pelarasan tu akan dapat meningkatkan servis kita kepada pengguna di Kelantan insya-Allah," kata Izani.
Ketika ini terdapat 275,000 akaun pengguna AKSB dan jumlah itu meningkat setiap tahun. Pihaknya dalam perancangan untuk membina beberapa loji air baru bagi menampung keperluan tersebut.
Pelarasan tariff bagi perkhidmatan bekalan air dibuat kali terakhir 11 tahun lalu berikutan terdapat beberapa kekangan termasuk pandemik COVID-19 menyebabkan ianya tertangguh.
Dalam tempoh tersebut, kos operasi untuk memproses air bersih dan penghantaran air bersih kepada pengguna termasuk kos pembaikian, kos bahan kimia, penggajian, elektrik dan sewa pajak untuk projek mengalami peningkatan berganda.
Malah AKSB terpaksa menyerap segala kos tersebut dalam pengoperasian harian sehingga tidak mampu lagi untuk menampung kos terbabit tanpa pelarasan tariff baru.
Dalam pada itu, pengguna Wan Mohamad Shahril Wan Mohamad menyambut baik pendekatan dilakukan dan berharap akan dapat menikmati tahap dan kualiti perkhidmatan lebih baik selepas pelaksanaan pelarasan tarif berkenaan.
"Saya harap ia boleh meningkatkan kualiti air. Di rumah saya air memang perlahan kalau boleh tak nak macam itu, air pun patut lebih bersih daripada biasa." katanya.
Perkara sama turut mendapat sokongan daripada Nor Dalili Afikah Yahya.
"Saya harap pihak berkuasa dapat menyelaras air lebih baik. Ia juga baik untuk penduduk-penduduk di Kelantan. Jadi kena buat perkara macam itu, ada bahagian dia baik dan ada bahagian keruh," katanya.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui kenyataannya menetapkan, tarif baru air bagi katogeri domestik di semenanjung dan wilayah Persekutuan Labuan naik 22 sen setiap meter padu berkuatkuasa 1 Februari ini.