fb fb fb fb fb

AkeMedia kali kedua, angkat peranan pengamal media

Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 4 April- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT (AkeMedia) 2024 kali kedua bagi mengangkat peranan berterusan pengamal media khususnya dalam menterjemah agenda utama kementerian itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, anugerah itu bagi memberi pengiktirafan kepada media yang membantu usaha KPKT selama ini.

Ia juga sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media dalam memastikan penyampaian maklumat berkesan, tepat dan sahih kepada rakyat melalui pelbagai saluran.

"KPKT mengambil keputusan untuk meneruskan anugerah berprestij buat kali kedua selepas mendapat sambutan 365 penyertaan daripada pelbagai agensi media pada tahun lepas.

"Saya amat berpuas hati dengan hasil karyawan para peserta yang banyak membantu kpkt menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat," katanya dalam ucapan pada majlis berbuka puasa sempena Program Sentuhan Kasih Ramadan KPKT 2024 di ibu negara.

Sebanyak lapan kategori akan dipertandingan iaitu Anugerah Khas YB KM (Kor Ming) Anugerah Utama, Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik, Anugerah Video Portal atau Dalam Talian Terbaik, Anugerah Penyiaran Radio Terbaik, Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik dan Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik.

Malah, Anugerah ‘Content’ Media Sosial Terbaik dan Anugerah Video Popular atau Pilihan turut dipertandingan dalam anugerah itu.

Nga memaklumkan AkeMedia 2024 dijadualkan berlangsung pada 8 November depan dan ia melibatkan kerjasama antara KPKT dengan Malaysian Press Institute (MPI).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI