KOTA TINGGI, 28 Ogos - Jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM) yang tidak mahu menyambung pelajaran boleh merencatkan hasrat Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Sehubungan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meminta Akademi Sains Negara melaksanakan kaji selidik bagi mendapatkan data tepat seterusnya mengesahkan perkara dimaklumkan Jabatan Perangkaan itu.
Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, hasil kaji selidik akan dibentang kepada Kerajaan untuk tindakan susulan.
“Kerana kalau angka 70 peratus tidak minat sambung belajar ianya satu kerugian kepada negara, jadi langkah selanjutnya perlu kita laksanakan supaya perkara ini tidak menjadi bebanan awal untuk kita lahirkan generasi berteknologi tinggi, minat sains dan inovas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Merdeka Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022, di sini.
Sementara itu, lebih 1.67 juta penyertaan Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 direkodkan di seluruh negara, melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan individu yang sedang membuat penyelidikan.
Jumlah itu melebihi sasaran asal, iaitu 1.5 juta penyertaan sehingga Oktober.
Sejak dilancarkan 1 April lalu, 175 program berkaitan telah dianjurkan.