fb fb fb fb fb

Ajinomoto, Leave A Nest Malaysia sokong pendidikan STEM di Sarawak

Science Castle Malaysia 2025 (SCMY2025) berlangsung berlangsung pada Khamis di Kuching Sarawak/Foto AJINOMOTO

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ajinomoto (Malaysia) Berhad dan Leave a Nest Malaysia (LVNSMY) menyokong penuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Timur Malaysia menerusi penganjuran Science Castle Malaysia 2025 (SCMY2025) di Kuching.

Program yang berlangsung pada Khamis menghimpunkan lebih 500 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara. Program itu turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).

"SCMY2025 merupakan platform kebangsaan bagi pelajar mempamerkan hasil penyelidikan mereka dalam pelbagai bidang seperti kelestarian alam sekitar, kesihatan, inovasi pertanian, keselamatan makanan dan robotik.

"Sebanyak 56 pasukan telah membentangkan projek masing-masing menerusi kategori poster, lisan dan ‘splash’," menurut Ajinomoto Malaysia kepada RTM.

Sementara itu, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPN Sarawak, Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad berkata inisiatif seumpama itu penting bagi merapatkan jurang penglibatan pelajar Sabah dan Sarawak dalam bidang STEM.

Tahun ini juga menyaksikan Ajinomoto memperluas kerjasamanya di kawasan Timur dengan menyasarkan projek STEM berfokus kepada kelestarian makanan, inovasi pemakanan dan pengurangan pembaziran.

“Melalui Science Castle, kami mahu pelajar bukan sahaja meneroka sains, tetapi menyelesaikan masalah sebenar dalam komuniti masing-masing,” kata Ajinomoto Malaysia.

Sebanyak 14 anugerah penyelidikan terbaik telah disampaikan pada majlis penutup.

Foto/AJINOMOTO

Pasukan terpilih akan mewakili Malaysia di Science Castle Asia 2025 di Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya, manakala pasukan cemerlang akan ke Science Castle World di Tokyo, Jepun, dengan tajaan khas daripada Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).

Seiring perkembangan skala dan impaknya, Science Castle Malaysia terus komited dalam memperkukuh kerjasama antara pelajar, pendidik, penyelidik dan industri.

"Platform ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada penyelidikan yang diketuai pelajar, tetapi turut memperkasa golongan muda untuk menyedari peranan mereka dalam menyelesaikan cabaran dunia sebenar melalui sains dan teknologi," menurut Ajinomoto Malaysia.

Artikel ini dibawakan oleh Ajinomoto (Malaysia) Berhad.

GRACE AISYAH KEDAYAN