fb fb fb fb fb

AIPA ke-46 lulus 42 resolusi pelbagai isu serantau

Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Presiden AIPA Ke-46, Tan Sri Johari Abdul dalam sidang media selepas persidangan AIPA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 20 September – Sebanyak 42 resolusi berjaya diluluskan pada Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang berlangsung di ibu negara.

Resolusi berkenaan meliputi pelbagai isu utama termasuk kerjasama politik dan keselamatan, integrasi ekonomi, keterangkuman sosial, tindakan iklim, serta pemerkasaan wanita dan belia. Ia juga menekankan usaha memperkukuh hubungan Parlimen AIPA dengan ASEAN dan Parlimen Pemerhati.

Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Presiden AIPA Ke-46, Tan Sri Johari Abdul berkata kelulusan resolusi tersebut amat penting kerana boleh dibawa ke Parlimen negara anggota untuk diperbincangkan serta dijadikan asas dalam pembentukan undang-undang melalui jawatankuasa pilihan khas atau kaukus.

“Setelah diluluskan, perkara ini akan dibincangkan sekali gus menjadi pendorong kepada Parlimen untuk membawa isu-isu yang diputuskan dalam proses penggubalan undang-undang. Ia bukan sahaja penting untuk Malaysia, tetapi juga bagi seluruh ASEAN. Apa yang kita bincangkan di sini mungkin sudah berlaku di negara jiran, dan ini dapat mempercepatkan tindakan susulan di negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas persidangan AIPA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, Malaysia selaku tuan rumah AIPA ke-46 turut menekankan usaha memperkukuh penjenamaan AIPA, komunikasi dan keterlibatan masyarakat agar peranan AIPA terus memberi manfaat kepada komuniti ASEAN.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN